TIPS KESIHATAN: IODIN UNTUK HATI (bahagian akhir)

Sambungan dari TIPS KESIHATAN: IODIN UNTUK HATI (bahagian 2)

 

 

Keenam: Bersangka baik dengan orang lain.

 

Hubungan suci sesama manusia merupakan syariat Islam. Berlapang dada, mesra, kasihan belas, ukhuwah dan berkasih sayang adalah asas dalam perhubungan. Menjadi kewajipan untuk kita mengekalkan hubungan sesama manusia. Kita hendaklah bersangka baik dan menjauhkan sikap memandang serong kepada amalan, pegangan dan perkataan orang lain. Berbaik sangka disebut sebagai husnuzzon.

 

Jika diperhatikan hubungan sesama muslim, kita dapati satu fenomena yang mendukacitakan, dengan ikatan persaudaraan yang sudah terungkai, disebabkan oleh prasangka buruk dan tuduhan yang tidak berasas yang dikenali pula sebagai su’uzzon (bersangka buruk).

 

Su’uzzon lahir daripada buruk sangka yang merosakkan, menyalakan perasaan dengki dan kebencian, meruntuhkan hubungan baik masyarakat dan menggoncangkan keutuhan ukhuwah. Bahkan berapa banyak kita dengar peristiwa besar dan bencana yang menimpa berpunca daripada sangkaan jahat yang diletakkan bukan pada tempatnya.

 

Apabila penyakit su’uzzon menular ke dalam diri, ia akan membawa kepada cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan dan rahsia keburukan orang lain. Sebab itu kita lihat orang yang bersikap su’uzzon sering berkata, “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini”, maka dia mula mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Semua ini memusnahkan makna mahabbah.

 

Sangkaan terbina di atas asas agakan, perkataan atau amalan yang diragukan. Ia akan menjadikan seseorang menurut perasaan yang akan menguasai diri dan pemikirannya. Bahkan sehinga salam yang diucap oleh seorang muslim yang dilingkungi oleh prasangka, boleh dianggap sebagai ejekan, demikian juga dengan senyuman akan dianggap sebagai perlian, pujian dan pemberian hadiah juga bolah disalahertikan dengan pelbagai anggapan yang akan membawa perbalahan dan perselisihan.

 

 

Firman ALLAH Taala dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.”

 

Sebahagian ulama berkata, “Perkara yang membezakan syak atau prasangka yang mesti dijauhkan daripada yang sebaliknya ialah setiap keraguan yang tidak ada tanda yang nyata adalah haram, wajib dijauhi. Iaitu sekiranya seseorang itu dari kalangan orang yang baik atau yang tersembunyi kejahatannya, seorang yang tampak amanah pada zahirnya, maka menyangka jahat terhadapnya adalah haram. Ini berbeza dengan orang yang telah terkenal dari kalangan manusia yang sering melakukan perkara yang meragukan atau melakukan kejahatan secara terang-terangan.”

 

Su’uzzon terjadi daripada beberapa sebab, yang paling banyak terjadi apabila seorang individu yang dibesarkan dalam suasana yang terkenal dengan akhlak yang buruk, sama ada di rumah atau bersama kawan-kawan, menjadikannya berniat tidak baik dan mempunyai hati yang busuk.

 

Sesiapa yang mengikut hawa nafsunya akan membawa kepada prasangka dan sangkaan dusta, kerana kasihkan sesuatu akan menjadikannya buta dan tuli. Apabila seseorang cenderung kepada yang lain dengan hawanya, akan menjadikannya lupa kesalahan orang itu dan sentiasa berbaik sangka dengannya walaupun orang itu melakukan kesalahan, demikian juga sebaliknya.

 

Setengah manusia ada yang bersikap bongkak, mengagumi kebolehan dirinya, sentiasa merasakan dirinya benar dan orang lain salah, membanggakan dirinya dan menghina orang lain, semua ini akan menjadikannya bersikap buruk sangka terhadap orang lain.

 

Ubat su’uzzon adalah husnuzzon. Jauhkan sikap buruk sangka, berfikir semasaknya sebelum membuat tuduhan atau hukuman. Tersalah kerana berbaik sangka adalah lebih baik daripada tersalah kerana cepat menghukum dengan buruk sangka. Kata Saiyidina ‘Umar bin al-Khattab r.a., “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”

 

Ubat seterusnya, biasakan diri memaafkan orang lain, tinggalkan sikap suka mencari kesalahan atau mengorek keburukan orang lain, sentiasa berpegang dengan adab dan ajaran Islam dalam menghukum seseorang. Tinggalkan segala yang tersembunyi hanya kepada ALLAH Yang Maha Mengetahui.

 

Bila ALLAH datangkan ujian ke atas hambaNya, ALLAH sebenarnya sedang berbicara dengan hamba itu. ALLAH sebenarnya mahu memberitahu dan mengajar hambaNya itu sesuatu. Kerana apa? Kerana ALLAH sedang merancang sesuatu untuk masa depan hamba itu.

 

ALLAH menguji seseorang hamba itu berkali-kali kerana Dia tahu hambaNya itu tidak akan dapat menempuh masa depan yang telah ditetapkanNya sekiranya hambaNya itu masih lemah untuk menghadapi cabaran sepanjang kembara perjalanannya. Jadi diujiNya hamba itu supaya hamba itu cukup kuat dan cekal untuk berjaya sampai ke destinasinya. Oleh itu, janganlah sekali-kali kita mengeluh dengan ujian. Kerana dengan ujian itulah baru kita tahu bahawa ALLAH sedang bersama dalam kembara kita di dunia ini.

 

Sedikit bingkisan sebelum saya akhiri post ini yang cukup menyentuh hati saya. Hayati dan renungi:
Seorang anak sedang bermain manakala ibunya pula sedang menenun kain. Sedang kanak-kanak tersebut bermain, dia lari mendapatkan ibunya untuk melihat apakah ibu yang disayanginya sedang lakukan.

 

 

Di sisi ibunya, si anak lihat kain yang ditenun ibunya (dari pandangan bawah) penuh berselirat dengan benang tenun. Anak tersebut berasa hairan lalu bertanya kepada ibunya, “Wahai ibuku, apakah yang sedang ibu lakukan?”

 

Si ibu menjawab, “Bertenang wahai anakku. Nanti ibu akan tunjukkan apa yang ibu lakukan apabila tenunan ini siap.” Berpuas hati dengan jawapan tersebut, si anak berlalu dan pergi bermain semula.

 

Beberapa ketika selepas tenunan siap si ibu memanggil anaknya dan berkata, “Wahai anakku sayang, mari ibu tunjukkan apa yang telah ibu tenun tadi.”

 

Selepas melihat hasil tenunan si ibu dari pandangan atas, si anak terpesona dan terus berkata, “MashaALLAH, cantik sungguh tenunan ibu ini! Berbeza sungguh dengan apa yang telah saya lihat dari bawah tadi.”

 

Tamsilannya, segala macam ujian yang kita terima adalah merupakan suatu perancangan tersusun dari ALLAH. Dari pandangan mata hamba, ya, kita akan lihat susunan tersebut penuh berselirat, penuh masalah, penuh cabaran. Tapi pengurusan dari ALLAH itulah yang Maha Hebat kerana di hujungnya adalah suatu pengakhiran yang sungguh menakjubkan.

 

Wallahu a’lam.

 

 

Rujukan:

http://feryco.com/petua-mencuci-hati
http://genta-rasa.com/2009/04/15/mencari-ketenangan-hati/
http://topan.web.id/7-kunci-menuju-ketenangan-hati/
http://ms.langitilahi.com/motivasi-jadilah-macam-air-yang-mengalir/
Al-Kuliyyah, 7 Januari 2011
Majalah Al-Muslimah Ogos 2008

 

 

 

Best regards

 

NOOR ATIKAH BINTI NOORDIN
28 Julai 2011M = 26 Syaaban 1432H
Khamis

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: