JANGAN SEKADAR BUDAYAKAN MEMINTA MAAF

Sabda Nabi SAW, "Bolehkah aku memberitahu kamu apa yang dapat meninggikan bangunan dan mengangkatkan darjat?" Para sahabat berkata, "Ya, wahai Rasulullah!" Baginda bersabda, "Berlemah-lembut terhadap orang yang berlaku bodoh terhadapmu, berilah maaf terhadap orang yang membuat aniaya terhadapmu, berilah kepada orang yang bakhil terhadapmu dan bersilaturrahimlah terhadap orang yang memutuskannya darimu." (Riwayat at-Tabrani)

Akhirnya saya jumpa juga apa yang saya cari, alhamdulillah. Habis berdebu tangan cari benda ni di sebalik timbunan barang-barang yang mak saya longgok di belakang rumah.

Apa yang saya cari?

Ini dia, Majalah Anis (keluaran Kumpulan Karangkraf) bulan Disember 2003. Sayang betul majalah-majalah mendidik begini dilonggokkan di belakang rumah saja. Tapi apa boleh buat, rumah mak. Karang mak membebel pula kalau saya decorate rumah ikut kepala sendiri.

Kenapa saya bersusah payah cari majalah ini?

Jawapannya, mesej! Ya, ada mesej yang ingin saya cari dan kongsi dari majalah ini. Nak tahu apa mesej itu? Sila baca Artikel yang saya petik dari ruangan Kemudi Hati yang ditulis oleh Pahrol Mohamad Juoi halaman 22 yang bertajuk, “Tidak Sekadar Budaya Bermaaf-maafan: Hidupkan Budaya Taubat!”.

**********

“Sepatutnya dah selesai…kata dah kosong-kosong. Ni tidak, masih ungkit-ungkit lagi. Raya baru ni dah bermaaf-maafan, lepas raya dah nak sengketa lagi?”

“Kenapa jadi begitu?” balas saya dengan nada simpati. Wajah anak saudara berkerut, jelas menunjukkan dia resah.

“Entahlah Pak Ngah, kami dah bermaaf-maafan tapi masih macam ni… Nampaknya, maaf ini tak menjadi. Pak Ngah selalu ada idea…kenapa jadi macam ni?”

Saya ketawa. Memang di kalangan anak-anak saudara, saya dipandang begitu. Pak Ngah banyak idea, kata mereka.

Antara Hati, Tangan dan Lidah

“Maaf ni kerja hati, kerja tangan atau kerja lidah?” tanya saya. Nampak dia terkejut.

“Er, er…pada saya semuanya.”

“Betul. Mulut mengucapkan, tangan bersentuhan, hati merelakan… Masa minta maaf dulu, ketiga-tiganya buat tak?” tanya saya.

“Entahlah Pak Ngah, tangan dan mulut tu adalah. Tapi hati, tak pasti pulak. Kita bermaafan dalam suasana raya, ramai orang…sambil makan minum pulak tu. Tak perasan…”

“Wah, kalau gitu patutlah. Yang penting hati tu yang mesti rela-merelakan. Hati tu raja dalam diri. Tangan dan mulut tu hanya ‘orang suruhan’ saja. Kalau raja tak rela, tak cukup syaratlah maaf kita,” jelas saya.

“Pak Ngah, salah saya ke salah dia?”

“Hai, siapa yang meminta maaf, dia ke kamu?”

“Tak pasti Pak Ngah, hari raya biasalah…semua orang minta maaf.”

“Nilah masalahnya, tak jelas siapa yang minta maaf dan siapa beri maaf. Siapa yang bersalah, siapa jadi mangsa kesalahan. Kamu ada salah ke pada dia?”

“Memanglah Pak Ngah…saya yang bersalah.”

“Jadi, kamulah yang minta maaf dan dialah yang sepatutnya memberi maaf… Apa salah kamu pada dia?” saya cuba mancuit.

Malu Mengaku Salah…

“Laa… Malulah Pak Ngah.”

“Kamu boleh malu depan Pak Ngah, tapi jangan malu depan dia. Kamu kena sebut apa salah kamu, barulah dia boleh buat keputusan sama ada hendak atau tidak memaafkan kamu.”

“Hai, seganlan Pak Ngah…”

“Kalau segan, itu bukanlah minta maaf dalam erti kata sebenarnya. Jadi patutlah dia ungkit kembali!”

“Habis, semua orang tak buat gitu. Main salam dan sebut maaf… maaf… maaf je? Tak kan kita nak buat lain macam pulak. Nak sebut pulak salah kita satu-satu… Ei, susahlah Pak Ngah.”

“Memanglah susah. Sebab tu ganjaran ALLAH kepada mereka yang minta maaf ni sangat tinggi. Yang susahnya bukan nak sebut, nak salam, tapi nak tekan ego di hati kita. Mengaku yang kita ni bersalah… Yang tulah yang paling berat.”

“Pak Ngah, ceritalah sikit tentang bermaafan cara sebenar dalam Islam…”

“Tak mahu…” gurau saya.

“Saya janji…nanti saya amalkan.”

“Tak mahu…tapi Pak Ngah nak cerita hal lain. Cerita yang lebih global.”

“Lebih global? Apa tu Pak Ngah?”

Seperti biasa dia dah bersila depan saya. Saya memang sayangkan anak saudara yang satu ni. Dia “peminat” setia saya.

Cerita Taubat

“Nak cerita pasal taubat. Bermaaf-maafan ni satu juzuk daripada taubat. Baiklah, hal yang kita bincangkan dari tadi ni melibatkan dosa…betul tak?”

“Betul Pak Ngah. Dosa saya terhadap kawan saya tu.”

“Dosa manusia dengan manusia. Dosa dengan manusia kalau kita nak taubat perlu tempuh empat syarat… Pertama, menyesal. Kedua, berhenti melakukannya. Ketiga, tidak mengulanginya. Keempat, bayar atau ganti semula atau…”

“Maaf, Pak Ngah…yang keempat tu tak berapa faham saya. Banyak sangat ‘atau’nya.”

“Yalah sebab dosa kita terhadap manusia terbahagi empat, ada yang mengenai hartanya, agamanya, keluarga dan dirinya.. Dengan harta misalnya, kita curi duitnya, hutang tak bayar, tipu… Dengan agama, kita tuduh dia fasik, munafik… Dengan keluarga, kita aniaya ibu bapanya, adik-beradiknya. Dengan dirinya, kita umpat, fitnah, kita sakiti fizikalnya…” jelas saya agak panjang.

Dia termenung.

“Apa hal tiba-tiba menung je ni?”

“Mana saya tak susah hati, sekadar berjabat salam dan mengucapkan perkataan maaf tu jauh sangat daripada taubat… Terasa sangat budaya bermaaf-maafan sempena Hari Raya ni tak berapa betul…”

“Eh, jangan begitu. Dah betul, tapi masih banyak yang perlu dipertingkatkan. Kita kena hidupkan budaya taubat, tak cukup sekadar budaya bermaaf-maafan…”

“Idea Pak Ngah ni bernas. Tapi istilah taubat tu agak ‘tak glamor’ sikit. Selalu taubat ni orang kaitkan dengan Tuhan…”

“Itulah tujuan Pak Ngah, nak kaitkan semuanya dengan Tuhan. Bila sebut taubat, terasa ada kaitannya dengan Tuhan. Ni Pak Ngah nak beri satu kunci…”

Kuncinya

“Kunci apa Pak Ngah?” potongnya sedikit terkejut.

“Kunci perhubungan sesama manusia. Jika manusia sama manusia nak harmoni, maka tauhid wajib dijadikan asas dalam perhubungan itu. Nak minta maaf, perlu ada rasa tauhid…untuk menundukkan keegoan diri. Orang yang merasa kebesaran ALLAH sahaja dapat menundukkan keegoan dirinya. Begitu juga orang yang memberi maaf…bila terasa ALLAH Yang Maha Besar pun sanggup memaafkan insan, maka siapa pula diri kita yang kerdil ini untuk tidak memberi kemaafan?”

“Terima kasih Pak Ngah. InsyaALLAH, saya akan jumpa semula kawan saya tu… Nak taubat, nak sebut satu-satu kesalahan saya… Kemudian baru nak minta maaf.”

“Baguslah…budaya bermaafan sinonim dengan musin raya. Tapi budaya taubat…kena segera!”

**********

Amacam? Dapat sedikit info?

Sengaja saya tak edit artikel ni, supaya apa yang terkandung tak ditersalahtafsirkan oleh saya. Bila ilmu dikongsi, different heads akan menghasilkan different ideas. Jadi satu ilmu boleh menghasilkan seribu ilmu pula.

Satu perkara lagi yang ingin saya tambah, minta maaf perlukan keberanian. Berani sebut satu-satu kesalahan sendiri, berani berhadapan dengan orang yang telah kita sakiti, berani menempuh apa saja reaksi dari orang yang kita sakiti itu, berani tundukkan ego, dan macam-macam berani lagi.

Jadi, jom ramai-ramai jadi berani!

Best Regards,

NOOR ATIKAH BINTI NOORDIN
Exclusive post from aisyahumyra.com
13 Mei 2010M = 28 Jamadilakhir 1431H
Khamis, terus tersenyum manis!

____________________________________________________________

Advertisements

2 Comments

  1. Atieshu said,

    17/05/2010 at 09:34

    Hoh… topik ni yang best ni.
    Ingat MAAF ingatlah 4 perkara…
    tq sis πŸ™‚

    • Noor Atikah said,

      17/05/2010 at 15:05

      hoo…best ek? Terima kasih kepada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang sudi berkongsi artikel ini.. πŸ™‚


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: